Jumaat, 14 Oktober 2011

Suami, Isteri dan Dot Dot Dot

I mencebik. Menjuihkan bibir I yang tak kering. Dia ikut sama. I sambung dengan menggeleng kepala. Dia membalas dengan senyuman. I ingatkan dia nak berhenti, rupanya dia masih lagi mempunyai semangat untuk mencari apa yang dikehendaki. Satu per satu baju yang diselaknya, meminta pandangan I yang bernas. Namun, sehelai baju pun tak menarik perhatian I. Begitulah ragam I jika keluar membeli belah bersama isteri tersayang. I jadi sangat cerewet. Walaupun sikap I bukan seperti itu, I bentuk sikap seperti itu supaya perbelanjaan jadi tak boros. Selain dari ketampanan, I sangat cermat dan pandai berbelanja. Isteri I pula tak putus asa, dia akan terus mencari sehingga I mengalah. Pada I, semangat seperti itulah yang menyebabkan dia sangat comel di hati I.

Disebabkan hari masih muda, kami sambung berjalan. Mata memandang kiri dan kanan mencari kedai-kedai yang menarik untuk dikunjungi. Tiba-tiba mata I terpaku pada kedai elektrik dan elektronik. I ajak isteri I masuk. Dia menolak. I masuk seorang. Dia tunggu tepi pintu kedai. Satu per satu televisyen LED yang memukau I. I terhenti di hadapan barisan LED itu. I buat muka girang dan memanggil isteri I untuk berkongsi cerita. Dengan langkah yang berat, dia tetap datang. I minta dia tenung rimbunan televisyen LED yang berada di hadapan kami, untung-untung dia tertarik dan bernafsu untuk membeli. Rancangan I gagal. Dia pandang I. Juihkan bibir dan menggeleng kepala. Hancur hati I. I buat perkiraan supaya dia berfikir.

" 18 helai baju 100 heng macam td dapat beli tv ni yang..warranty 5 taun..berbaloi2.."

I senyum girang sambil menganggukkan kepala. Nampak tak cool juga perbuatan itu kalau diperhatikan orang. Isteri I masih geleng-geleng kepala. I mengalah. I buat janji palsu lagi.

"Kalau kita beli tv LED ni yang..kte bukak MTV hari2..CSI..HBO setiap masa..baru la gamba cantik yang..br nampak justin biber hensem..kalau tidak mcm nok je yang.."

Kali ini I yakin dapat perangkap dia. Ayat jenis mengumpan seperti itu, kalau kena pada lubuknya, boleh dapat banyak hasil. I senyum sendiri.

"Abang kalau pakai tv lama tu..negeri sembilan lawan felda pon nk tgk smpai habis..ni kan tv baru..silap2 tak pegang remote I tau.."

I buat muka sedih. Yela, dah tau plan I kecundang. I faham bila dah berumahtangga, bagusnya minat tidak sama dengan isteri, adalah supaya tidak membazir dan membeli sesuatu mengikut kehendak hati. Bayangkan kalau I dan isteri sama-sama minat televisyen tersebut. Bayar Astro pun sudah tentu lebih. I mesti nak tengok rangkaian sukan, isteri I tentu sahaja mahu rancangan hiburan. I perasan keunikan seperti ini pada kebanyakan pasangan. Contohnya isteri yang suka melihat langsir, tapi suami lebih gemar melihat sinki, kabinet, jubin yang menarik atau aksesori kereta.

Ada yang beranggapan, hidup berkeluarga perlu mewujudkan satu kehendak atau citarasa yang sama, berkongsi minat yang sama atau hobi yang sama. Pada I, bagaimana berbeza pun sesuatu pasangan itu, yang paling penting adalah komunikasi. Komunikasi yang baik tentu sahaja dapat mengeratkan ruang perbezaan itu.