Selasa, 30 April 2024

Rindu Abah

 Deringan telefon mengejutkan seisi rumah I, ketika I sedang sibuk melayani kerenah anak perempuan I, anak - anak lelaki I sedang bermain di luar rumah, I tidak menyangka, panggilan telefon dari abang ipar I itu, sebenarnya membawa berita duka, cuma menunggu pengesahan sahaja.

"Faqar..Sori kacau..boleh pergi rumah abah tak? Naquib call abg Firdaos ni, beritahu abah tengah nazak"

Bagai gugur jantung ini, mendengarkan perkhabaran seperti itu, ketika hati ini tidak menyangka, sosok tubuh ayah berkemungkinan akan pergi selama-lamanya. Dalam keadaan tenang, I panggil anak - anak lelaki I untuk masuk dan bersiap ke rumah ayah, yang jaraknya hanyalah 15 minit dari rumah. 

"Danish..Firas..masuk dalam kereta..Uncle Firdaos nak kita tengokkan atok, mungkin atok dah nazak..Danish Firas doa banyak - banyak ya"

Anak - anak I diam, menurut kata I, mungkin memahami keresahan hati I. Luaran I nampak tenang, tapi jantung yang berdegup kencang, debaran di dada ini, bagaikan mengetahui ayah I sudah tiada. Ruang fikiran I penuh dengan bayangan - bayangan memori bersama abah, seperti wayang gambar, seolah-olah I yang memerhati lakonan pentas dunia I dan abah. Ketika itu, semua memori bergerak laju, seolah-olah satu drama ulangan, yang memfokuskan babak, seorang anak, dan seorang ayah.

Sunyi di dalam kereta, hanya kedengaran bacaan Al Fatihah yang I baca tidak henti - henti. Anak - anak I juga diam, memahami keadaan yang berlaku. Anak perempuan I yang selalunya banyak bertanya, masih terpinga-pinga, cuba memahami keadaan yang membuatkan I dan abang - abangnya, diam seribu bahasa. 

Ketika I sampai di rumah, I terus dapatkan sekujur tubuh, yang sudah hampir 15 bulan duduk di katil yang sama, di bilik hadapan rumah. Tubuh ini adalah tubuh yang pernah menyelamatkan I ketika lemas di Port Dickson, tubuh ini adalah tubuh yang tidak pernah gagal menghantar anaknya untuk mendaftar di setiap menara gading, tubuh ini adalah tubuh ayah yang pernah datang ke wad tengah - tengah malam, sebelum I melakukan pembedahan, hanya kerana risaukan I. Tapi tubuh ini sekarang kaku, dengan mata yang tertutup rapat.

"Abah..abah bangun abah..ni Faqar yang datang.."

Abah tidak memberi reaksi. Keras. Tiada apa - apa.

"Abah..Faqar lambat sikit datang abah..tapi faqar dah cuba bawak selaju yang boleh tadi"

Tangan I pergi ke arah leher abah. Mencari nadi yang mungkin lemah. Tapi tiada tanda ada nadi. Yang kedengaran bunyi tangisan tersesak - esak dari adik I.

"Abah..Faqar minta ampun ya abah..Faqar banyak abaikan abah..Faqar sibuk dengan kerja..Faqar sibuk dengan anak - anak..Faqar harap abah masih hidup....."

I lihat anak - anak I melihat perilaku I. Tak dapat berbuat apa - apa, itulah manusia yang lemah, dalam keangkuhan kita mencipta bangunan yang tinggi mencakar langit, dalam perlumbaan kita mengejar harta keduniaan, tidaklah mampu kita untuk melawan takdir kematian.

Cerita rindunya I kepada abah, akan I pendekkan. Kedatangan ambulans yang hanya datang mengesahkan kematian abah I, meminta I menandatangani satu borang. Disitu tertera tarikh 1 Mei 2023. Tarikh hari pekerja. Seumur hidup I, I lihat rajinnya ayah I bekerja, siapa yang menyangka, perginya seorang ayah, yang selalu menjadi pembakar semangat I untuk rajin bekerja, perginya pada Hari Pekerja.

Al Fatihah untuk abah. Tanpa abah, I bukanlah sesiapa. Titik peluh abah untuk mencari rezeki supaya adik beradik I mendapatkan pendidikan dunia akhirat, diharap mendapat pahala yang berpanjangan di alam yang akan I singgah nanti. Rindu abah. Rindu yang tak terungkap. Rindu yang tidak dapat digambar. Hanya rindu. Al Fatihah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan