Jumaat, 9 April 2021

Bermulanya sebuah lagenda - Part I

 "Abah..macam mana abah boleh kahwin dengan mama?"

I pandang mata anak I. Ini kali pertama anak pertama I tanya soalan yang bersifat peribadi kepada I. I tak menjawab. Perlahan-lahan I hirup kopi yang tak panas. I letak semula cawan ke piring dan anak I melihat setiap tingkah laku I. Menantikan jawapan yang tidak akan dijawab.

"Belum masanya lagi kau nak tau cerita seorang lagenda di dalam percintaan ni. Belajar dulu. Dah besar nanti, dah sampai masa nak cari jodoh, carilah blog penulisan sempurna. Disitu terdapat kisah seorang lagenda"

I menjawab tanpa melihat muka anak I. I nak dia tau, I serius bila I katakan, I tidak akan bercerita kepadanya kisah peribadi I. Dia masih terlalu mentah kisah lagenda percintaan ibu dan bapanya. Dia boleh mendapatkan kisah - kisah cinta sejati Kisah Putera Katak atau Puteri Salju dan 40 penyamun di mana - mana toko buku atau lebih mudah membelinya di atas talian, tetapi tidak akan sama dengan kisah percintaan seorang Zulfaqar dan Norazyani.

"Dah..pergi masuk bilik. Jangan nak tido lambat. Praktis bangun awal sikit..lagi pun minggu depan dah nak sahur"

I mencapai handphone dan terus menuju ke bilik tidur, membiarkan cawan kopi itu di atas meja. Mengharapkan cawan kopi tersebut boleh bersih dengan sendirinya ketika I melalui semula meja makan tersebut. Soalan anak I tadi betul - betul mengimbas nostalgia bersama isteri I. Setiap kali menulis, I akan memanggilnya Cik Bunga, malah kawan-kawan I juga memanggilnya dengan nama Cik Bunga. Tahun 2021 ini merupakan tahun yang istimewa kerana tahun ini merupakan satu dekad hidup bersama-sama. Maka I bercadang menulis semula, untuk menjawab jawapan kepada anak I.

Cik Bunga merupakan rakan sekerja dan yang peliknya adalah, sepanjang 3 bulan duduk di bawah satu department, kami tidak pernah berbual selepas masing-masing memperkenalkan diri. Bagi yang mengenali I, I tak bercakap dengan perempuan, tetapi perempuan-perempuanlah yang inginkan bercakap dengan I. Menjadi bualan gadis-gadis remaja dan wanita-wanita yang berusia, I boleh katakan Cik Bunga pada ketika itu amatlah berani, kerana dia tidak pernah menampakkan hasratnya untuk memulakan perbualannya dengan I. Sehinggalah pada suatu hari dia bertanyakan tentang rumah untuk disewa.

"Abang tau ke kat mana - mana rumah untuk disewa"

Ya. Dia panggil abang semasa kali pertama dia memulakan perbualan. Ini kali pertama I berhadapan dengan Cik Bunga. Beza umur I dan Cik Bunga adalah 2 tahun dan panggilan abang itu mungkin merupakan penghormatannya kepada I. Tapi, macam I cakap tadi, I merupakan rebutan gadis-gadis, mana mungkin I terpengaruh dengan satu panggilan abang sahaja.

"Aku taktau lah. Tapi dekat area umah mak aku. Banyak je umah untuk disewa. Nanti aku tengokkan"

Nah. Begitulah jawapan I kepada Cik Bunga. I gunakan kata ganti diri aku, menunjukkan I tidak berminat untuk menggunakan kata ganti diri yang lebih sopan. Walaupun dalam jawapan I kepada dia, I berjanji untuk mencari rumah untuk disewa di kawasan rumah mak I, realitinya I tak mencari. I beri harapan palsu kepada setiap gadis-gadis, wanita-wanita yang ingin mendampingi I. Cik Bunga mengakhiri perbualan, dan meninggalkan satu senyuman manis sambil matanya tertutup. Walaupun ianya kelihatan agak pelik, tapi I kira, mungkin dia berasa comel dengan memek muka yang begitu. I biarkan dan berlalu pergi.

Disebabkan I tak mencari pun rumah untuk disewa kepada cik bunga, maka kami tidaklah lagi berbual dan berhubung, walaupun kami berada di jabatan yang sama, dan position yang sama. Kami berdua merupakan pensyarah dan yang menariknya, kebanyakan pelajar - pelajar lelaki nampaknya tertarik dengan Cik Bunga dan mereka selalu bercerita mengenai Cik Bunga kepada I, itu yang membuatkan I mengenali Cik Bunga berdasarkan testimonial pelajar-pelajarnya. Dipendekkan cerita, pada semester yang seterusnya, dia perlu mengajar subjek Biokimia Klinikal I dan ketika itu, I lah yang ketua kluster subjek biokimia dan ketika itulah Cik Bunga banyak bertanya mengenai penyelesaian masalah untuk bacaan spektrofotometer. Walaupun kali ini, Cik Bunga dan I banyak berbual, I tidak pernah meminta nombor telefonnya dan I kira, dia juga tidak mempunyai nombor telefon I.

Sehinggalah pada suatu hari, I rasa seronok pula untuk mengajar dia, dan I mengharapkan Cik Bunga bertanyakan soalan lagi, tapi nampaknya dia dah betul-betul faham, sampai tiada lagi soalan yang ditanya lagi. Sebagai seorang lelaki yang tampan dan sempurna, takkan lah I pula yang nak memulakan perbualan, itu dah dikira sebagai perbuatan mencemar duli bagi lelaki seperti I. Maka disebabkan terlalu lama tidak berbual walaupun berkaitan dengan kerja, I beranikan diri minta nombor telefon Cik Bunga. Yang menariknya, I tak minta dari Cik Bunga, I minta dari ketua I, dengan alasan I ada tertinggal nota di dalam buku Biokimia Klinikal I yang dipinjam oleh Cik Bunga. Ketua I berikan nombor telefon Cik Bunga dan akhirnya, setelah 5 bulan bekerja bersama, barulah I ada nombor telefon Cik Bunga.

Walaupun I dah mempunyai nombor telefon Cik Bunga, I masih tidak mahu melanggar prinsip I dengan memulakan langkah I dahulu. Mungkin kerana I pernah ditipu oleh wanita, I menjadi lebih berhati - hati. Akhirnya setelah mendapat nombor telefon pada waktu petang, I beranikan diri untuk memulakan mesej pada waktu malam, dan mesej pertama I adalah ;

"yani..aku ni faqar..ko dah tido ke?ada ym tak?"  

Berbunga-bunga hati I ketika memulakan mesej tersebut, berguling-guling atas tilam sambil memegang handphone, menantikan jawapan yang akan diberikan oleh Cik Bunga. I buka semula sent item, baca semula ayat yang I bagi kepada dia, untuk memastikan tiada kesalahan ejaan, tiada unsur-unsur gedik dan macam-macam lagilah. I teruskan berguling-guling dengan gedik sambil menunggu jawapan balas dari Cik Bunga. Bagi yang tidak pernah mendengar perkataan ym itu, pada zaman ketiadaan whatsapp atau sistem pesanan ringkas yang lain, kami menggunakan yahoo messenger (ym) untuk berhubung. Ketika itu, ym lah yang boleh menjadi penghubung kepada yang berjauhan dengan keluarga, pasangan jarak jauh, dan pasangan yang gedik-gedik untuk berlawan sticker dan juga video call. Lebih malang lagi kehidupan pada zaman tersebut, ym hanya boleh diakses melalui laptop atau pc. Handphone boleh ambil gambar, tetapi terasa mahal ketika itu untuk membayar servis MMS sebanyak RM1.

Hampir 90 minit I berguling-guling, senyum sorang, tengok inbox dalam handphone, dan refresh ym I. I buat kesimpulan dia tidak berminat untuk membalas mesej I. Lebih parah lagi, I membayangkan dia tengah bergayut dengan boyfriendnya, sebab dalam tempoh kami berbual-bual, I tidak pernah tanya status dia. Maka aktiviti guling-guling gedik I yang hanya mendatangkan penat, terhenti dan I pun tertidur.

Kemudian sekitar jam 3 pagi, notifikasi mesej berbunyi dan I tersenyum kembali. Cik Bunga membalas mesej I. Walaupun jawapannya ringkas tetapi cukup memberikan makna kepada I.

"Ada..Kenapa?"

I terus membalas walaupun jam menunjukkan jam 3 pagi.

"Nak id ym boleh..boring laa haa"

Proses guling-guling gedik itu berlaku semula. I ulang semula proses yang awal tadi, buka inbox untuk berulang kali baca mesej yang sama, tengok bahagian sent item untuk memastikan tiada kesalahan ejaan, dan macam-macam lagilah perkara yang kalau diingatkan semula, rasa malu juga. Penantian itu satu penyeksaan. Cik Bunga sekali lagi tidak membalas terus dengan mesej yang I berikan, walaupun I membalas dengan cepat. Di dalam fikiran I ketika itu, confirm Cik Bunga dah ada boyfriend, mungkin dia sedang berhubung dengan teman lelakinya. Walaupun ianya hanya sangkaan, tetapi ianya sangat mengecewakan. Ini kerana I sendiri dah lama tidak rasa excited untuk berkawan. I tertidur semula. Kecewa memikirkan jika Cik Bunga benar-benar sudah berpunya.

Jam menunjukkan jam 6 dan I sudah bangun untuk menunaikan solat Subuh. Kecewa dengan apa yang berlaku pada malam berikut, I dikejutkan dengan notifikasi mesej. I bingkas bangun dan mencapai handphone I, mengharapkan balasan dari Cik Bunga. Ternyata benar mesej itu dari Cik Bunga.

"Sorii tertido. ym aku yani_mohsin"

I tersenyum. Kali ini I tidak berguling-guling. Penat. I terus menuju ke laptop dan buka ym.

Part II coming up - #satudekadbersamacikbunga



Tiada ulasan:

Catat Ulasan