Jumaat, 16 April 2021

Langkah Lagenda - Part II

 "Aku kacau ko malam-malam macam ni..pakwe ko tak marah ke?"

Dalam kerancakan Cik Bunga dan I berhubung melalui Yahoo Messenger (ym) dah masuk hari ke tiga, I beranikan diri untuk tanya soalan yang lebih personal. Soalan ini penting bagi memastikan tindakan I dalam memulakan langkah tidak terbantut. Menunggu jawapan dari Cik Bunga bagaikan menanti keputusan ujian memandu kereta, jika I lulus, I akan mendapat lesen P, tempoh percubaan. I menunggu dengan penuh sabar, beberapa kali juga I hirup kopi yang I sengaja letak di sebelah laptop, supaya I dapat isi masa menunggu setiap kali mesej I tidak dibalas dengan cepat. Berpuluh-puluh mesej gadis lain di ym tidak I endahkan, I hanya memberi tumpuan kepada perbualan I...dan Cik Bunga... Keburukan menggunakan ym adalah kita tidak tahu mesej yang sudah dihantar sudah dibaca ataupun tidak. Maka penantian masih diteruskan, perasaan I masih resah, cuba untuk tidak berharap tetapi fikiran masih berteka teki.

"Aku takde pakwe..sbb aku tak percayalah couple ni..aku nak carik orang yang betul betul nak kahwin dengan aku.."

Walaupun hanya membaca di ruangan chat ym, sudah cukup untuk membuat hati I berbunga-bunga dan kalau I boleh lihat diri I di dalam cermin, I pasti akan nampak diri I yang senyum sendirian memerhatikan paparan laptop. Begitulah dasyatnya percintaan. Ada yang rasa mereka sudah biasa dengan percintaan, tetapi itu tidak dapat memadam kebenaran kadang kala kita akan melakukan perkara bodoh dan kelakar dalam percintaan, termasuklah perbuatan I senyum melihat berulangkali mesej yang diberikan oleh Cik Bunga. Jantung I berdegup pantas. I nak berterus terang. Walaupun baru beberapa hari berhubung melalui ym, I nak Cik Bunga tahu, I dah mula suka dan selesa dengannya.

"So kalau serius nak kahwin kena jumpa parents ko dulu ke cmne?"

Gelojoh dan tidak berfikir panjang, itulah sifat seorang lelaki yang terdesak. Kenapa terdesak? Biarlah, hanya keluarga dan kawan-kawan rapat I yang tahu.

"Memanglah kena jumpa dlu..takkan lah tibe-tibe nak kawen plak"

"Eh..ko konvo kan nanti..aku nk dtg tengok boleh?"

Inilah langkah yang I boleh putuskan, sebagai langkah yang terbaik untuk jumpa ibu bapanya. I dah berangan ambil gambar bersama Cik Bunga dan parentsnya nanti. Malah dalam imaginasi I, Cik Bunga sedang memegang bunga dengan jubah konvonya bergambar dengan I. I senyum sendirian lagi, angau.

"Haa ko nak datang ke?Boleh jugak sebab mak ayah aku pun tak datang konvo aku nanti.."

Jawapan yang menimbulkan keraguan kepada I, I mula risau. Apa yang terjadi kepada mak ayah Cik Bunga? Sebab I tak nampak Cik Bunga mempunyai masalah keluarga ketika itu, I tau Cik Bunga balik ke Pontian setiap minggu. Dari I terus berteka teki, baik I bertanya terus, sebab keresahan dan persoalan I hanya akan mengundang lebih banyak andaian. I jenis lelaki yang caring dan concern kepada kawan - kawan I (Pernyataan ini khas untuk dibaca anak-anak I bila dia cukup umur - Baca part I kalau tak faham)

"Asal weh mak ayah ko tak datang..baru ingat nak jumpa mak ayah ko..kenal kenal..borak-borak..hehe"

Miang bukan.

"Mak, ayah dgn adik I g bercuti..Dorang dah tempah dlu..So rugi kalau cancel"

Jawapan yang melegakan, tetapi dah cukup untuk menepis andaian pelik I. I nampak inilah peluang untuk I menunjukkan betapa budimannya diri I.

"ohh..kalau macam tu biar aku jela yg teman.."

"Serius ni ko nak teman?takde orang marah?

Kali ini giliran Cik Bunga pula bertanya tentang status I. I sedar dengan soalan begini, I sebenarnya tidaklah bertepuk sebelah tangan. Cuma I tidak mahu berharap, maklumlah, walaupun sudah beberapa bulan bekerja di tempat yang sama, tetapi I dan Cik Bunga baru beberapa hari sahaja berhubung dengan menggunakan mesej-mesej, itupun melalui ym. 

"Haha siapa nak marah? Ko mcm tatau je kisah aku tu..satu opis kan tau.."

"Yela..aku tanya je..anything can happen"

I boleh rumuskan yang Cik Bunga rasa insecure. Apa yang Cik Bunga tak tahu ketika itu adalah I dah mula obses untuk mengenalinya lebih rapat lagi. Perbualan di dalam ym diteruskan, malam tersebut dan malam-malam berikutnya. 

Minggu itu berjalan sehinggalah hari Jumaat tiba, disebabkan  I dah tau Cik Bunga akan balik ke Pontian pada minggu tersebut. I selitkan nota pada pintu keretanya yang bertulis "Hati-hati dalam perjalanan nanti, take care dan baca doa"

I tak dapat respon apa-apa dari Cik Bunga. Akhirnya, disebabkan I sendiri yang berasa kusut, I membuat panggilan telefon, itu adalah kali pertama I menghubungi Cik Bunga. I nak tanya tentang status kertas tersebut.

"Assalamualaikum..dah gerak balik Pontian ke tu?"

"Wslm..dah gerak dah..lepas thumbprint terus pecut"

"Laa..jgn laju2 sgt tu..kalau ngntok berenti..nnt benti makan kt mana tu?"

"Memang plan nk makan kt pontian..smpi sana terus makan"

"haa ok2...hati tu..bawak laju boleh..tapi hati2..(I ketawa sebab I galakkan Cik Bunga bawa laju"

"OK..ok..by the way..ko ada tulis sesuatu ke kat pintu kereta aku tadi"

Yes. Rupanya dia baca.

"Haah, aku mcm segan nak mesej ko nak suruh hati-hati driving..kang nnt ko ckp aku menyebok plak"

"Alaaa..yeke ko yang tulis..aku igt orang mana yang tulis..aku dah buang!"

Luluh hati ini. I sangkakan tinggalan nota I, adalah paling romantik sepanjang perkenalan I dan Cik Bunga, dibuang begitu sahaja. Tapi disebabkan satu panggilan telefon itu, I dah mula seronok mendengan suaranya di telefon pula. Next episode will be less ym, more calls hahaha

Kisah lagenda ini akan bersambung ke drama pada hari konvo - Part III


#satudekadbersamacikbunga

Tiada ulasan:

Catat Ulasan