Ahad, 9 Mei 2021

Nukilan Hari Ibu

 "Abang..Abang"

Panggilan jam 2.30 pagi yang merencatkan mimpi indah I. I bingkas bangun. Melihat Cik Bunga berdiri dalam keadaan janggal.

"Kenapa plak tu yang?"

Pelbagai persoalan dalam fikiran I. Melihat wajah Cik Bunga, dia nampak tidak takut, tetapi tidak juga tersenyum. Mukanya kebingungan.

"I rasa macam air ketuban I leaking lah..I ingat kan nak terkencing, tapi non stop dia keluar"

I bangun dari katil, memegang bahunya dan mengiringinya ke katil. Sambil berfikir langkah seterusnya, jantung I berdegup laju, lebih kepada kepada perasaan excited untuk melihat bayi yang dikandung Cik Bunga selama 9 bulan. I cuba untuk mengawal perasaan excited I, cuba untuk menjadi lelaki yang matang. Kebetulan I berada di rumah mak I, tiada panik, masih bertenang sebelum menganalisis apakah yang sedang berlaku pada Cik Bunga.

"Jomlah kita ke hospital..Kita mandi jap..terus gerak.."

Bersiaplah kami berdua jam 3 pagi, untuk ke hospital. I kejut mak I, dan beritahu apa yang berlaku, mak I pun mendoakan agar segala urusan dipermudahkan. Dalam perjalanan ke hospital, I menghubungi juga ibu mertua I, kerana pada ketika itu, ibu dan ayah mertua I sedang bergilir-gilir menjaga abang ipar I di ICU, koma selepas kemalangan. I pesan kepada ibu mertua I untuk tidak datang ke Seremban, kerana I yakin boleh mengendalikan Cik Bunga dengan baik.

Selepas pemeriksaan di hospital, isteri I masih belum dibenarkan untuk melahirkan, kerana tiada contraction dan bukaan, tanda yang ada hanyalah pecah air ketuban. Maka doktor membuat keputusan, jika tiada tanda-tanda lain, mereka akan induce kelahiran anak pertama I jam 9 malam. Dipendekkan cerita, isteri I dimasukkan ke wad biasa dan masih lagi tiada tanda-tanda lain sehinggalah jam 9 malam. Sepanjang hari kami berbual perkara-perkara yang menyeronokkan, berkongsi rasa tidak sabar untuk menimang cahaya mata, dan memori - memori indah lain, agar Cik Bunga tidak rasa takut untuk melalui saat bersalin. 

Tepat jam 9 malam, katil isteri I ditolak keluar dari wad masuk ke labour room. Ketika melihat isteri I ditolak, perasaan excited dari pagi pecahnya air ketuban tiada lagi, kini yang tinggal hanyalah kerisauan dan kegelisahan. Pelbagai imaginasi negatif menjelma bersilih ganti. Kali ini jantung I berdegup kencang kerana kerisauan. I mundar mandir di ruangan menunggu, melihat ragam suami yang sedang menunggu, ada yang sedang tidur, sedang membaca Yasin. I pilih untuk mundar mandir tanpa henti, hati ini risau, mulut boleh berdoa tetapi tak memadamkan rasa susah hati. Baik kita minum dlu, bisik hati kecil, melihatkan mesin air dengan gambar air soya Yeos nampak menyegarkan. 

"Suami Norazyani Mohsin!"

Panggilan dari jururawat bertugas menghentikan proses nyahdahaga akibat kerisauan yang tiada terhenti. I toleh kepada kepada jururawat tersebut sebagai respon, dan terus membuang air tin yang sedang diminum.

"Sain dekat sini. Sebelum tu nak tanya, pernah pengsan tengok darah?Baca semua syarat-syarat ini dan tandatangan jika bersetuju mematuhi semua syarat yang telah diberikan"

I terus menurunkan tandatangan. Yakin dengan kemampuan diri I. I berjalan masuk ke labour room ditemani jururawat tersebut. 

"Betulkan ini isterinya, jangan salah isteri pula"

I senyum kepada jururawat tersebut. Memberi isyarat yang I faham dan memberi reaksi dengan gurauan tersebut. Sempat juga dia mengusik.

"Sayang ok?"

I lihat Cik Bunga cemas. Bertemankan latar belakang degupan jantung bayi di dalam rahim Cik Bunga, suasananya agak mencemaskan dan membawa lebih debaran. I pegang tangan Cik Bunga, memberitahunya yang I akan bersama-samanya walau apa juga yang terjadi. Melihatkan Cik Bunga dalam ketakutan, I jadi lebih panik, di dalam kepala I, hanya nak kedua-duanya selamat, Cik Bunga dan bayi yang bakal menjadi anak sulung I. 

Masa terus berjalan, kesan ubat tersebut sudah dapat diperhatikan, setiap kali berlakunya pergerakan tsunami di bahagian abdomen Cik Bunga, dia mengenggam kuat tangan I. I dapat rasakan kesakitannya bukan kepalang, kudrat yang digunakan untuk mengenggam tangan I semasa menahan kesakitan menunjukkan tenaga yang luar biasa. Ya Allah, isteri I sedang bergelut menahan kesakitan. I perhatikan wajah Cik Bunga yang semakin sakit. Muram.

"Abang..I macam dah tak tahan sangat..sakit sangat ni.."

"Iyee..abang dapat rasa syg tengah sakit..Tahan sikit ye sayang..sebab tinggal lagi sikit je..Tadi doktor cakap bukaan dah 6cm"

Kami tak berbual seperti biasa. I banyak berkumat kamit dengan doa dan juga kalimah suci yang I harap dapat membantu proses tersebut berjalan dengan lancar. Satu-satunya pengorbanan I, adalah memberi peluang tangan I untuk digenggam sekuat hati oleh Cik Bunga setiap kali dia diserang rasa sakit yang amat. Setelah  9 jam melayan contraction, akhirnya Doktor siapkan diri dengan set untuk menerima kelahiran. Suasana hingar bingar. Doktor tersebut seolah-olah memberi isyarat, peperangan ini harus dihentikan, maka siapkan peralatan, kuatkanlah mental dan berjuang.

I lihat Cik Bunga bagai mendapat semangat baru. Dia membetulkan posisinya. I ada betul-betul di sebelah, berdiri dalam keadaan yang tidak selesa. Mulut ini tidak pernah lekang dari membisikkan kata-kata semangat kepada isteri kesayangan I.

"Ok..saya kira 1..2..3 Puan tahan nafas..teran sekuat hati puan ya!"

I juga bersedia walaupun arahan itu kepada Cik Bunga. Proses kelahiran bukan mudah. Banyak kali I dapat lihat kepala bayi sudah sampai ke bahagian mata, tetapi dek tenaga Cik Bunga yang sudah semakin berkurangan. tenggelam semula, membuatkan proses teranan itu dimulakan dari awal semula. I yakin jika lelaki yang melalui proses kelahiran ini, sudah tentu sudah mula hilang sabar.

Akhirnya, setelah 40 minit proses meneran, bayi pertama berbinkan Zulfaqar, lahir jam 6.40 pagi. Melihatkan proses kelahiran itu dari awal, perjuangan Cik Bunga yang tiada penghujung. I terus memeluk isteri I dan membisikkan ungkapan yang I sendiri tidak ingat, tetapi memberitahu yang I bangga dengan usaha dan pengorbanannya. Air mata I berjuraian.  I menangis tersedu-sedu. Proses kelahiran ini sangat menginsafkan. I nekad I tidak akan derhaka kepada Umi I. I keluar dari labour room dan bertembung dengan ibu mertua I. Melihat I nangis teresak-esak. Ibu mertua I pula jadi gelisah. Ditanyakan I keadaan Cik Bunga. Setiap kali I cuba menjawab, air mata ini tidak berhenti mengalir, sehingga satu perkataan yang keluar dari mulut I tidak difahami, lalu ibu mertua I bertanyakan keadaan Cik Bunga di kaunter. I bergegas menuju ke surau untuk menunaikan solat Subuh.

Setiap bacaan solat I diiringi dengan tangisan seperti bayi yang sedang merajuk. I masih tidak dapat melupakan perjuangan yang dilalui setiap ibu semasa proses kelahiran. Itu belum dikira simptom awal hamil dalam 3 bulan, kaki bengkak, tulang belakang yang sakit, kerap terkencing, berpuluh kali dicucuk untuk bacaan gula dan lain-lain. Setiap ibu perlulah diraikan, diingati oleh setiap anak-anak yang tidak pernah melihat proses kelahiran. I bertuah, ketiga-tiga anak I, I berpeluang melihat proses kelahiran itu, dan oleh kerana itu, anak-anak I yang cuba protes arahan Cik Bunga, berdepan dengan amarah pelindung dan pencinta sejati....

Selamat Hari Ibu kepada semua ibu-ibu. Sudah tentu tanpa kehadiran ibu, tiadalah kita untuk mengenal dunia. I harap penulisan ini dibaca oleh anak-anak I suatu hari nanti, walaupun bacaan masih tidak menunjukkan betapa sukarnya, kerana sukar diungkapkan dengan ayat-ayat, tetapi ketahuilah yang Cik Bunga sentiasa melakukan yang terbaik untuk anak-anak. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan